KUBANG PASU: UMNO yakin gelombang pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menyebelahi mereka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, gelombang pengundi yang akan tiba semasa pilihan raya menjadi faktor terpenting untuk menghadapi pilihan raya dijangka tidak lama lagi.

Katanya, seperti ombak pada PRU14 yang lalu parti berkenaan yakin bahawa ia lebih kepada PH.

"Jadi kita kena lihat ombak pada masa itu akan menuju ke arah mana? Pada 2018 kami cukup yakin bahawa ia bukan untuk BN tetapi lebih kepada PH.

"Tetapi kali ini, gelombang itu kita dapat perhatikan bahawa gelombang itu kelihatan positif untuk kita (BN)," katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan program UUM-PIBKS Membina Kesejahteraan Rakyat, di sini pada Isnin.

Menurutnya, UMNO perlu memenangi lebih satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 Parlimen di Kedah pada pilihan raya akan datang.

"Kita perlu menang lebih daripada satu kerusi kerana jika kita menyumbang hanya satu kerusi dari setiap Parlimen ia tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan," katanya.

BACA: PRU15: Satu Parlimen perlu sumbang sekurang-kurangnya satu kerusi DUN - Othman

Ketika mengulas mengenai strategi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz yang menyasarkan untuk memenangi satu kerusi DUN daripada setiap 15 kerusi Parlimen di Kedah, Mahdzir berkata, ia adalah strategi kepimpinan negeri dan akan menyokong apa sahaja kaedah dan strategi negeri.

"Apa yang penting dalam pilihan raya adalah pertamanya calon, adakah mereka boleh diterima atau tidak, bukan sahaja untuk UMNO tetapi calon itu perlu diterima oleh orang ramai di kawasan itu," jelas beliau. - Sinar Harian