GPS perkenalkan muka baharu dalam PRN ke-12 Sarawak

Astro Awani
Julai 14, 2020 06:44 MYT
Menurut Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, keputusan untuk mempertaruhkan muka-muka baharu ini bertujuan untuk memberi laluan kepada yang lebih muda untuk bertanding pada PRN ke-12 akan datang.
Beberapa muka baharu bakal diperkenalkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak.
Menurut Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, bagaimanapun tiada paksaan dalam meletakkan calon baharu bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan.
“Memang ada muka baharu, namun ia bukan secara paksaan. Ia juga bertujuan memberi laluan kepada muka-muka baharu ini,” katanya.
Ketua Menteri Sarawak itu berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Isnin.
Jelasnya lagi, jumlah sebenar muka baharu yang dipertaruhkan pada PRN ke-12 bagaimanapun belum dapat didedahkan.
Setakat ini ujarnya, hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz telah mengumumkan pengundurannya untuk tidak bertanding pada PRN akan datang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Wahab Aziz kerana mengumumkan keputusan itu secara terbuka.
"Memang ada beberapa pemimpin yang mengundur diri untuk memberi laluan kepada orang muda,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan tiada pertukaran calon di antara ahli Parlimen dan ADUN bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk pilihan raya itu nanti.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan pertukaran kerusi di peringkat DUN sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
“Sekiranya terdapat keperluan, kita akan lakukan. Tetapi ia juga bergantung kepada jenis keperluan.
“Terpulang kepada yang di lapangan. Sekiranya ada permohonan dari mereka yang di lapangan, jadi kita akan mempertimbangkannya,” tegasnya.
#ADUN Kalaka #Astro Awani #AWANI Sarawak #Datuk Abdul Wahab Aziz #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #GPS #Pengerusi Gabungan Parti Sarawak #Pilihan Raya Negeri ke-12 #PRN ke-12