KOTA KINABALU: Seramai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Kerajaan Sabah dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.

Keputusan menarik diri itu dibuat BN Sabah selepas hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan, keputusan itu dibuat sebulat suara bersama pimpinan UMNO Sabah selepas bermesyuarat di Pejabat UMNO Sabah di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Mengulas mengenai keputusan yang diambil itu, Bung berkata tindakan Hajiji mengugut BN dengan tindakan rombakan kabinet tanpa berbincang dengan kepimpinan parti itu dan tindakan memecat Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak, dilihat sebagai melanggar perjanjian di antara BN dan GRS sewaktu penubuhan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri yang lalu.

"...Ini jelas di mana YAB Hajiji telah melanggar persefahaman tersebut di mana hari ini telah mengeluarkan surat penamatan jawatan YB Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak selaku Pengerusi Qhazanah Sabah dan juga YAB Hajiji telah mengugut kita untuk merombak kabinet tanpa berbincang, tanpa berunding dan sebagainya.

"Jadi, keputusan kami sebulat suara, UMNO Barisan Nasional menarik diri dan menarik sokongan kepada Hajiji Mohd Noor selaku Ketua Menteri Sabah," Bung berkata sewaktu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan UMNO Sabah di Pejabat UMNO Sabah pada Jumaat.

Dalam pada itu, Bung turut berkata keputusan itu juga diambil selepas UMNO dan BN Sabah hilang kepercayaan bahawa Hajiji masih layak menjadi Ketua Menteri apabila beliau mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Disember tahun lalu.

Perkara itu, menurut Bung, disahkan setelah merujuk peguam dan berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah Artikel 6 (3) dan (7) yang menyatakan Ketua Menteri harus dipilih daripada seorang ketua parti yang memperolehi majoriti, sementara Hajiji bukan ahli kepada mana-mana parti.

"Mengikut Artikel Perlembagaan Negeri Sabah 6 (3) iaitu 'command', bermakna command ini ketua yang mendapat mandat. Kedua, dirujuk dengan 6 (7) pula, Ketua Menteri harus dipilih daripada sebuah parti yang majoriti, ketua parti.

"Dia (Hajiji) tidak berparti, dia bernaung di bawah GRS. GRS ini 'grand coalition' (gabungan besar) di antara PBS, STAR, Bersatu, USNO, SAPP. Jadi bermakna YAB Hajiji telah menipu RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) dengan mengatakan dia ahli GRS. Jadi, oleh kerana penipuan-penipuan ini, kami meminta TYT Sabah menyemak dan memberi pandangan secara serius," tambah Bung.

Pergolakan politik ataupun 'ribut dalam cawan' melibatkan hubungan BN dan GRS akhirnya terjawab apabila BN Sabah sepakat menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Hajiji berkuat kuasa hari ini.

GRS mempunyai 29 ADUN yang terdiri daripada 15 bekas Bersatu; tujuh Parti Bersatu Sabah (PBS); enam Star dan satu daripada SAPP.

Terdahulu, Hajiji mengumumkan akan merombak Kabinet negeri.

Dalam satu kenyataan ringkas, senarai kabinet baharu itu akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Pengumuman yang dibuat Bung Moktar 36 jam selepas pembatalan sidang media yang dilaporkan diadakan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu.