KUALA LUMPUR: Penggunaan logo Pas khusus bagi tiga negeri - Kelantan, Terengganu, Dan Kedah - pada Pilihan Raya Umum akan datang, mempunyai asasnya kerana parti itu lebih kukuh berbanding komponen Perikatan Nasional lain di tiga negeri tersebut.

Namun Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Uitm Mujibu Abd Muis berpendapat, ia berkemungkinan akan memberi isyarat yang salah kepada pengundi, tentang asas perpaduan sebenar dalam parti PN.

Mujibu berkata, beliau secara peribadi berpandangan isu lambang atau logo merupakan hal kedua, tetapi ia akan tetap menjadi antara pertimbangan utama bagi pengundi di atas pagar.

"Saya lihat bahawa ini barangkali iktiraf kekuatan dan dominasi Pas di kawasan itu memandangkan ini adalah kawasan negeri yang pengundi Melayu tinggi dan sudah tentu saingan kalau guna lambang Pas lebih beri impak dalam memberi saingan sengit kepada UMNO BN.

"Walaupun saya berpandangan lambang ini bersifat secondary, kerana pengundi ada pilihan masing-masing, tapi kita risau ada pengundi atas pagar, undi simpati, lupa yang bertanding itu adalah Pas tapi bukan PN.

“Kalau bercakap mengenai lambang, seperti kes (Pilihan Raya Negeri) Johor, kita lihat PKR bertanding guna logo sendiri, dan parti komponen PH guna logo PH, kita lihat itu tidak beri nilai tambah. Malah dikatakan, itu pertimbangan pengundi bahawa mereka semakin lemah.

“Ini antara ramuan perlu difikirkan, baik PN, mahupun Pas, bagi memuktamadkan apa sebenarnya lambang mahu dipakai mereka dalam PRU,” katanya kepada Astro AWANI.

Sebelum ini pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata, Majlis Tertinggi parti itu akan membincangkan cadangan untuk membenarkan penggunaan lambang Pas di tiga negeri tersebut.

Perikatan Nasional | Lambang Pas di tiga negeri sahaja mungkin beri isyarat salah


Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian selepas menghadiri pembukaan Muktamar Pas Ke-68 di Kedah, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, beliau berpandangan perlu ada penyeragaman untuk satu lambang bagi parti yang bertanding, termasuk untuk Perikatan Nasional.

"Mengapa (perlu) takut hingga hanya mahu mengguna lambang Pas sahaja, walaupun diakui Pas kuat di tiga negeri itu?

“Kalau benar-benar mahu menguat dan mengukuhkan PN, ini barangkali langkah pertama dilakukan, guna dan jaja logo PN dan tengok apa hasilnya, daripada hasil itu, baik positif atau negatif. boleh berkembang untuk pilihan raya atau strategi seterusnya,” katanya lagi.