PADANG TERAP: Masa depan kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) berkemungkinan ditentukan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijangka diadakan awal tahun hadapan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata beliau bagaimanapun masih berharap ketetapan mengenai kerjasama itu dapat dibuat melalui perbincangan bersama kepimpinan tertinggi kedua-dua parti tanpa perlu diputuskan oleh perwakilan pada PAU.

"Kalau ditanya (mengenai kerjasama Pas-UMNO) di peringkat akar umbi ini, hubungan sebenarnya baik di antara UMNO dan Pas di mana ada ukhwah dan perpaduan (demi) bangsa dan agama.

"(Keputusan mengenai masa depan MN) ini pun kena dibawa kepada kepimpinan parti masing-masing, (Presiden Pas) Tuan Guru Haji (Abdul) Hadi (Awang) (pernah) sebut yang mana, dia bergantung kepada dewan tertinggi dalam Pas untuk menentukan (mengenai masa depan MN), kalau (di dalam) UMNO, di (peringkat) PAU akan putuskan.

"Tetapi semua itu adalah bergantung kepada usul akan (yang akan) dibawa, (yang penting) sama ada ada atau tidak usul tu...

"Pada saya, kalau ada penyelesaian antara kepimpinan kedua-dua parti dalam (sebarang bentuk) kolabarasi, (atau) perbincangan (bersama), atau apa jua penyelesaian, mungkin tak perlu dibawa (usul itu)," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, pada Sabtu.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata persiapan awal dan rapi perlu dilakukan akar umbi serta kepimpinan UMNO di peringkat cawangan dan bahagian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka diadakan sekitar bulan Jun atau Julai tahun hadapan.

Media sebelum ini melaporkan Pas akan menolak MN sekiranya UMNO enggan menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi menyertai gagasan itu.

Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti itu telah menyatakan kesediaan bagi menerima parti-parti lain dan NGO termasuk Bersatu.