Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat daripada parti dengan serta merta.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Lembaga Displin PKR, Datuk Ahmad Kasim dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR pada Rabu.

Menurutnya, keputusan itu sebulat suara dicapai oleh Biro Politik PKR dalam satu mesyuarat.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kedudukan Haziq dalam parti berkenaan akan dimaklumkan oleh Jawatankuasa Disiplin PKR.


Pada 19 Jun lepas, biro politik PKR telah memberi Haziq Abdullah tempoh 14 hari untuk memberi surat tunjuk sebab, rentetan dari kemelut video seks yang melanda parti itu serta kerajaan.

Negara juga telah dikejutkan dengan pengakuan Haziq yang mendakwa mengadakan hubungan intim dengan seorang pemimpin kanan parti dan kerajaan.

Pengakuan itu susulan tersebarnya sedutan video intim pasangan sejenis di media sosial.

Haziq mendakwa, pasangannya dalam video itu ialah Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin bagaimanapun, menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan tuduhan itu berniat menjatuhkan reputasi, maruah dan kedudukannya sebagai pemimpin.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam reaksinya juga menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas selain yakin Mohamed Azmin bukan individu yang dikaitkan dalam video lucah itu.

Perdana Menteri juga berkata, penyebaran video itu oleh pihak tidak bertanggungjawab jelas bermotifkan politik dengan tujuan untuk menjatuhkan Mohamed Azmin.