KOTA KINABALU: Perbalahan dalam kalangan pemimpin UMNO dan tindakan melaga-lagakan kepimpinan parti harus dihentikan segera kerana dikhuatiri akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan sekiranya ia berterusan.

Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sebaliknya, semua pihak dalam UMNO perlu fokus untuk merapatkan barisan demi kestabilan parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu berkata semua pemimpin parti yang memegang jawatan sama ada dalam kerajaan atau Majlis Tertinggi parti, wajar menjalankan amanah dipertanggungjawabkan dengan hati yang penuh ikhlas.

"Jika (perbalahan) berlarutan, akhirnya rakyat akan menghukum kita. UMNO daripada dahulu lagi tidak asing daripada menuntut kita (pemimpin dan ahli) merapatkan barisan.

"Kita akan berdepan pilihan raya umum, rakyat akan menentukan kedudukan kita sebagai satu kerajaan dan kita (UMNO) juga akan berdepan pemilihan parti, dan ahli parti akan menentukan kedudukan pimpinan tertinggi parti," katanya.

Menteri Kanan Pertahanan itu berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Stesen Udara Kota Kinabalu dan Skuadron 503, serta menyaksikan penyerahan Helikopter Operasi Maritim di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Hishammuddin berkata perbalahan antara pucuk kepimpinan parti tidak hanya berlaku dalam UMNO mahupun BN sahaja, kerana parti-parti politik lain turut berdepan situasi sama.

Bagaimanapun, beliau yakin UMNO mampu menangani perkara tersebut dengan baik berdasarkan kepada pelbagai situasi sama dihadapi parti itu, yang menyaksikan pertembungan lebih hebat antara para pemimpinnya sebelum ini.

"Tetapi, ia (pertembungan hebat antara pemimpin sebelum ini) tidak menjejaskan wadah UMNO sebagai satu parti yang boleh diharapkan orang ramai," katanya.

-- BERNAMA