KUALA LUMPUR: Perhimpunan mendesak agar tindakan diambil terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu negara hujung minggu lalu disifatkan memberi kesan.

Aktivis Adam Adli Abdul Halim yang juga ahli PKR, mendakwa disebabkan itu beberapa pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang turut serta dalam Himpunan #TangkapAzamBaki itu dipanggil untuk siasatan polis.

"Walaupun ada yang mengatakan Himpunan #TangkapAzamBaki tidak berjaya tetapi kami menganggap ia sebagai satu tanda bahawa  ada memberi sedikit ancaman dan kesan.

"Kita harap siasatan itu bukan terhenti kepada mereka yang hadir di demonstrasi tersebut namun siasatan perlu adil kepada semua orang dan yang paling utama kita tunggu, bila saudara kita Azam Baki nak disiasat.

"Itu yang kita tunggukan. Tak apalah kalau nak panggil 100 orang daripada kami inipun asalkan kita capai matlamat nak tengok siasatan dibuka terhadap saudara Azam Baki," katanya selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, hari ini.

BACA: Demonstrasi #TangkapAzamBaki: Henti intimidasi, siasat terhadap peserta - Anwar

Azam Baki | Guna peruntukan undang-undang untuk adili - Hamzah

Adam dipanggil memberi keterangan berhubung himpunan yang diadakan di Stesen LRT Bangsar pada Sabtu dan satu lagi himpunan di Restoran Amjal pada malam sebelumnya.

Seramai lapan individu termasuk beberapa pemimpin muda parti pembangkang hadir memberi keterangan berhubung kedua-dua himpunan tersebut, hari ini.