SHAH ALAM: Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau tetap bersama dengan perjuangan parti itu buat selama-lamanya.

Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, beliau pada masa sama akan memanfaatkan sebaiknya peluang yang ada untuk melakukan penambahbaikan terhadap prestasi parti itu.

Tegasnya, BN-UMNO juga mesti membuat reformasi segera berikutan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan gabungan itu hanya memperoleh 30 kerusi di Parlimen.

“PRU15 BN kalah teruk, hanya dapat 30 kerusi sahaja, satu keputusan yang patut menginsafkan dan menyedarkan kita semua khususnya warga UMNO dan BN.

“Kita perlu lakukan penambabaikan dan apa jua pembetulan diperlukan untuk parti kesayangan kita ini.

“Banyak kerja yang mesti dilakukan kalau nak pulihkan semula keyakinan rakyat, kita tidak boleh salah langkah lagi,” kata beliau dalam satu hantaran video yang dimuat naik di akaun Instagramnya pada Khamis.


Tambah Hishammuddin, seluruh ahli UMNO diingatkan untuk membulatkan tekad bagi memastikan masa hadapan parti yang lebih baik.

“Rapatkan barisan dan sama-sama kita lihat ke hadapan, demi masa depan dan kelangsungan perjuangan,” ujarnya. - Sinar Harian