KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk ahli-ahli politik perlu menghormati apa sahaja keputusan yang dicapai hasil undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berpandangan, ia merupakan forum terbaik sebuah negara demokrasi dalam menentukan keabsahan sesebuah kerajaan.

"Sekiranya usul percaya di Parlimen pada 9 September nanti menyebelahi Muhyiddin, maka semua ahli Parlimen hendaklah menghormati keputusan tersebut.

"Sama ada majoriti sedikit atau majoriti lebih besar, itu menunjukkan bahawa Muhyiddin mendapat kepercayaan dan peluang beliau untuk meneruskan kerajaannya itu perlu dihormati oleh semua ahli Parlimen.

"Ini kerana peluang sudah dibuka di Parlimen dan undi ahli Parlimen itu menentukan sama ada akan digantikan dengan kerajaan baharu ataupun kerajaan yang ada sekarang ini diteruskan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.

BACA: Undi percaya pada September munasabah, tidak perlu tergesa-gesa - Penganalisis

BACA: Undi percaya September ini? Ini yang perlu anda fahami

BACA: Usul undi percaya: Pembangkang gesa sidang khas Parlimen sebelum 9 Ogos

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat sudah lelah dengan pandemik COVID-19 yang disulami polemik politik yang berpanjangan.

"Pada hari ini, rakyat sangat perlukan perhatian. Rakyat perlu sangat kepada usaha kerajaan untuk membasmi dan melawan COVID-19 dan juga meningkatkan ekonomi.

"Ia seterusnya dapat membawa keluar rakyat daripada zon kesukaran sekarang kerana rakyat telah hilang pendapatan, rakyat sudah lama berkurung dalam rumah, rakyat memerlukan kemakmuran dan kehidupan, harapan yang lebih baik pada ketika ini," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan supaya usul undi percaya terhadap beliau dilaksanakan semasa sidang Dewan Rakyat pada September ini.


Penganalisis | Menjelang usul undi percaya di Parlimen