KUALA LUMPUR: Hubungan antara Kerajaan Pusat dan Sarawak akan lebih akrab serta diperkukuh dalam perancangan melakar sebuah negara yang baik dan berketrampilan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Pengerusi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi antara tonggak membentuk Kerajaan Perpaduan yang dikemudinya.

Menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter beliau pada Sabtu, Anwar berkata beliau menerima kunjungan Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediamannya hari ini.

"Pagi ini saya menerima kunjungan daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan rombongan.

"InshaAllah, hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berketerampilan," katanya.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) GPS memenangi 23 daripada keseluruhan 31 kerusi Parlimen di Sarawak.