KUALA LUMPUR: UMNO meletakkan keyakinan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh menjadi Perdana Menteri yang baik bagi memimpin negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun Ahli Parlimen Bera itu memegang jawatan ketiga dalam UMNO, namun pengalaman yang dimiliki Ismail Sabri menjadikan beliau calon yang tepat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Selain itu, beliau turut memberi bayangan bahawa Ismail Sabri ketika ini telah mendahului majoriti untuk dipilih sebagai Perdana Menteri seterusnya.

“Saya difaham sebelum ini bahawa hanya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja yang dijemput (menghadap Yang di-Pertuan Agong).

“Jadi lain perkataaan, calon kedua atau mereka yang menyokong calon kedua itu daripada maklumat yang saya ada, mereka tidak dijemput untuk hadir menghadap Seri Paduka Baginda.

“Tujuan untuk menghadap ini, saya difahamkan ialah untuk mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) yang kita telah buat dua hari lepas di hadapan Seri Paduka Baginda.

"Adakah kita sukarela membuat akuan itu atau pun kita berada di bawah tekanan atau lain-lain?

“Kalau untuk diri saya sendiri, tentunya sukarela mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

"Saya yakin kepada keupayaan beliau,” katanya kepada media di Menara Onn Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

BACA: Teka-teki siapa Perdana Menteri ke-9 mungkin berakhir hari ini

BACA: Calon PM ke-9: Ahli Parlimen UMNO, Bersatu tiba menaiki bas ke Istana Negara

Katanya, latar belakang Ismail Sabri dalam bidang politik termasuk setiausaha politik kepada Tan Sri Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Ketua Pembangkang menyaksikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu cukup bersedia menggalas jawatan tertinggi negara.

Ismail Sabri juga, katanya, diberi kepercayaan sebelum ini untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Keselamatan dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian itu memaklumkan telah menerima salinan daripada Yang di-Pertua Dewan Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun menyatakan sejumlah 114 ahli Parlimen dijemput menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

“Saya juga telah menerima undangan daripada Setiausaha Dewan Rakyat untuk menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.

“Kumpulan pertama akan bermula pada 10 pagi, kumpulan kedua (11.10 pagi), kumpulan ketiga (2 petang), kumpulan keempat (3.10 petang) dan kumpulan kelima (4.20 petang),” ujarnya.

BACA: Calon PM ke-9: Ahli Parlimen sokong Ismail Sabri menghadap Agong hari ini - Ahmad Maslan

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan kumpulan pertama melibatkan 24 Ahli Parlimen antaranya Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) selain Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Ia kemudian diikuti 25 Ahli Parlimen, antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak) dan Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan).

Sesi pukul 2 petang pula melibatkan 25 Ahli Parlimen, antaranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Rina Harun (Titiwangsa) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut).

Sementara, sesi pukul 3.10 petang melibatkan 22 Ahli Parlimen manakala sesi terakhir membabitkan 18 Ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang).