KUALA LUMPUR: Keputusan UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang membuktikan tiada perpecahan dalam kepimpinan parti berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, perkembangan itu memudahkan tugasan pimpinan parti dalam merencanakan hala tuju negara.

"Ini jelas membuktikan kepimpinan parti bersatu padu dan tidak ada perpecahan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Ini memudahkan tugasan pimpinan parti untuk merencanakan hala tuju negara demi kestabilan dan kesinambungan dasar dasar negara agar kesejehateraan dan keharmonian rakyat terus terbela di bawah Barisan Nasional (BN).

"Terima Kasih Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah beberapa kali berjiwa besar dalam membuat keputusan demi negara.

"Biar diserang kiri kanan, kedua-dua tokoh ini tetap komited memastikan Barisan Nasional meneruskan agenda membantu dan membela nasib rakyat," katanya dalam kemas kini di laman sosial, malam ini.

UMNO hari ini sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti, untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi PRU15 akan datang.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Ahmad Zahid hari ini.