PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  hairan dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau berhubung dakwaan dana perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya umum yang lalu.

“Saya... saya? Pasal apa saya?,” soalnya pada sidang media selepas merasmikan majlis kemuncak National Training Week 2023 di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Pengerusi PN itu mempertimbang untuk menyamannya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan yang dikatakan mengaitkan Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semalam, Muhyiddin memberitahu, akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil langkah seterus terhadap kenyataan yang dibuat oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri itu.

Ia susulan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan bagaimanapun agensi itu mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, tiada apa-apa fail siasatan dibuka.

Sebelum ini, Anwar dalam sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.