SHAH ALAM : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mencadangkan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dipecat daripada parti itu baru-baru ini untuk mengikut proses Lembaga Rayuan parti itu dan bukannya merayu belas ihsan Presiden semata-mata.

Menjawab kepada pertanyaan media, kata Rafizi, Tian Chua sepatutnya membuat permohonan itu untuk dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) oleh Lembaga Rayuan. 

"Saya cadangkan kepada saudara Tian Chua, kalaupun dia nak merayu belas ihsan kepada Presiden parti (Anwar Ibrahim), lebih baik dia juga melalui proses Lembaga Rayuan itu.

"Akhirnya keputusan itu akan dibuat oleh MPP, Lembaga Rayuan setelah meneliti rayuan akan membentangkan kembali kepada MPP untuk buat keputusan akhir," katanya.

Bagaimanapun jelas Rafizi, tindakan merayu terus kepada Presiden PKR itu juga hak mantan Ahli Parlimen Batu itu. 

"Masa itu kalau dia dah berbincang dan merayu kepada Presiden parti, presiden parti akan bawa kepada MPP.

"Tapi contohnya kalau dia tak merayu, kemudian dia merayu terus kepada Presiden, nanti dia jadi sukar kepada yang lain kena pecat juga.

"Kita bagi signal tak baik kepada anggota lain, maksudnya kita ada double standard - kalau orang ini dia tak payah melalui Lembaga Rayuan. (Namun) itu terpulang kepada dia untuk rayu terus kepada Presiden, itu hak dia," kata Rafizi lagi.

Tian Chua antara lima ahli PKR yang dipecat selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) membuat keputusan pada 8 Januari lalu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Dr Tan Yee Kew berkata, pemecatan itu dibuat selepas Tian Chua didapati bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tanpa persetujuan parti.

Empat lagi yang dipecat ialah Puah Chee Haur daripada cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Gopeng), M Mohganan (Taiping), serta Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya).