ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor bersedia untuk ke mahkamah berhubung dakwaan Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Menurutnya, beliau juga bersedia disiasat polis berhubung dakwaan itu kerana pihaknya mempunyai banyak 'sandaran' mengenai perkara itu.

"Biar polis siasat. Kalau ada laporan polis, orang lain takut sebab dia tak ada sandaran (bukti). Ya, saya ada sandaran banyak. Jumpa di mahkamah, saya bersedia sampai ke situ," katanya.

Muhammad Sanusi menjawab pertanyaan wartawan ketika ditemui selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman, pada Khamis.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Datuk Azman Nasrudin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mahu membawa dakwaan Menteri Besar itu ke mahkamah.

Semalam media melaporkan Kon Yeow berpandangan bahawa sebarang isu dan tuntutan yang mahu dikemukakan oleh  Muhammad Sanusi seharusnya dibawa ke mahkamah.

Beliau menyifatkan 'gurauan serius' terbaharu itu bukan suatu perkara yang baharu dan pihaknya bersedia mengambil pendekatan untuk mendengarnya secara 'serius' iaitu melalui tindakan undang-undang.

Sementara itu, hari ini Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah itu berhubung dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

Laporan yang dikemukakannya di balai polis Jalan Patani, di sini kira-kira jam 8.30 pagi, dibuat atas kerelaan dirinya sebagai warga Pulau Pinang serta bagi mewakili DAP.

Ini laporan kedua Rayer terhadap Sanusi, dengan yang pertama pada Februari tahun ini selepas beliau mempersoalkan mengenai kedaulatan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa Kedah tidak mempunyai sempadan dengan Pulau Pinang berikutan ia milik Kedah.

Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.