ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran untuk memberi tumpuan dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri berbanding menyatakan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

Demikian teguran Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menjelaskan beliau tidak bermimpi apatah lagi mengigau seperti dinyatakan Perdana Menteri berkaitan pembangkang yang didakwa memiliki Akuan Bersumpah (SD) bagi membentuk kerajaan baharu.

Malah sebaliknya menurut Hamzah, Anwar yang berkemungkinan kini mengigau kerana bimbang dengan kedudukannya yang mungkin akan diambil alih.

"Saya nak maklum kepada beliau (Anwar) saya tak pernah mimpi pun tiap-tiap minggu. Saya nak beritahu yang dia mengigau itu sebab apa? Saya tak cakap apa pun.

"Sejak dia jadi Perdana Menteri, saya cakap hanya dalam Parlimen, beritahu dia (Anwar) yang dia bukan lagi ketua pembangkang, yang jadi ketua pembangkang saya dan yang nak buat cerita bukan-bukan sebab apa?" katanya.

Hamzah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, di Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Semalam, Anwar menggesa pembangkang supaya membawa Akuan Bersumpah menyatakan sokongan Ahli Parlimen ke Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu selepas terdapat cakap-cakap terdapat gerakan dicetus Perikatan Nasional (PN) yang didakwa sudah cukup sokongan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Anwar turut menyifatkan Hamzah dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai mengigau selain tidak mengendahkan ramalan Ahli Parlimen Marang itu bahawa kerajaan pimpinannya akan tumbang tidak lama lagi.