Kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan isu jemputan perasmi Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional sebagai cubaan 'menutup mulut' beliau adalah tidak masuk akal.

Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman, tindakan menyifatkan Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir sebagai lemah dan dikawal oleh ‘tangan ghaib’, adalah kenyataan yang tidak wajar dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PKR itu.

“Sebagai Timbalan Presiden, beliau tetap mempunyai ruang tersendiri dalam Kongres Nasional parti untuk mengutarakan pandangan.

“Saya berpendapat bahawa isu ini tidak harus diperbesarkan kerana tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat terlebih lagi ketika Pakatan Harapan sedang berhadapan pilihanraya kecil di Tanjung Piai," katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

BACA: Azmin dakwa wujud 'tangan ghaib' batal jemputan rasmi Kongres AMK

Kenyataan media

Kenyataan media

Jelasnya lagi, pihak AMK telah menghantar surat rasmi pada 11 September 2019 untuk menjemput Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres AMK Nasional berkenaan.

Namun, sehingga ke tarikh mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat AMK (MPPAMK) pada 20 Oktober yang lalu, pihak sekretariat tidak menerima sebarang jawapan rasmi dari pihak Timbalan Presiden itu.

Malah, jelasnya lagi keputusan untuk menjemput Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dibuat sebulat suara pada mesyuarat bulanan MPPAMK yang dihadiri lebih 30 orang Ahli Majlis Pimpinan AMK.

“Beliau dijemput atas kapasiti sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat merangkap Timbalan Perdana Menteri.

“Mesyuarat berpandangan adalah wajar menjemput Wan Azizah bagi meraikan jasa dan pengorbanan beliau sebagai Presiden KEADILAN sebelum ini dan memandangkan buat pertama kalinya dalam sejarah KEADILAN memiliki Timbalan Perdana Menteri,” tulis kenyataan itu.

Katanya, jemputan kepada Timbalan Presiden untuk merasmikan Kongres AMK hanyalah tradisi dan ini bukanlah kali pertama AMK menjemput perasmi selain Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, Syed Badli Shah juga sekali lagi mempelawa Azmin Ali untuk turut hadir Kongres AMK pada 6 Disember depan bagi memberikan penghormatan kepada mantan Presiden parti merangkap Timbalan Perdana Menteri.