PENGANALISIS politik, Rozhan Othman melihat bekas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai contoh terbaik dalam menguruskan negara untuk tempoh 100 hari pertamanya.

Beliau melihat Ardern mengatur agendanya dengan begitu jelas yang terbahagi kepada tiga fasa, iaitu mengenal pasti isu yang perlu ditangani, kemudian penyelesaian pelbagai dimensi, dan seterusnya membina momentum untuk memastikan kelangsungan pelaksanaannya.

Antara agenda penting yang dibawa Ardern adalah isu kemiskinan yang berkait rapat dengan masalah kesihatan kanak-kanak, pendapatan keluarga dan perumahan di mana beliau menanganinya secara bersepadu.

“Dalam 100 hari perancangannya, ada elemen yang menyentuh isu kebajikan kanak-kanak pada ketika sama beliau meningkatkan gaji minimum supaya keluarga-keluarga miskin terbela.

“Pada masa sama juga, beliau mengawal kos perumahan, melarang pembelian hartanah oleh orang asing serta melarang agensi kerajaan yang terlibat dalam industri perumahan daripada menjual aset yang tak dapat dijual untuk memastikan perumahan mampu milik sampai kepada sasarannya.

“Ia satu penyelesaian multidimensi kerana kesihatan kanak-kanak bukan sekadar makan minum atau bawa mereka ke klinik sahaja tapi juga bergantung kepada kebajikan ibu bapa mereka,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.

Maklum Rozhan lagi, malah Ardern menggubal undang-undang untuk menjadikan inisiatif tersebut sesuatu yang tidak boleh digugat atau diterbalikkan.

Katanya, apabila sesuatu matlamat itu diluluskan sebagai akta, tidak kira siapa pun Perdana Menteri atau parti mana yang memerintah di masa akan datang, mereka mempunyai komitmen untuk terus menjayakan agenda itu.

“Dengan itu, beliau mewujudkan satu inisiatif yang mempunyai momentumnya yang tersendiri," katanya.


Begini cara Jacinda Ardern laksana agendanya untuk NZ dalam 100 hari pertamanya