SHAH ALAM: Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersedia melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Jamal berkata, beliau sedia mengundurkan diri daripada jawatan itu yang bertanggungjawab dalam aspek pengurusan kewangan parti komponen BN di 22 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Jamal yang menyandang jawatan itu sejak 2019 berkata, Tengku Zafrul disifatkan individu paling layak untuk jawatan tersebut berdasarkan kepada reputasi beliau dalam pengurusan kewangan.

"Tengku Zafrul adalah seorang yang sangat pakar dalam pengurusan kewangan kerana mempunyai latar belakang perbankan dan lebih profesional lagi apabila beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, BN Selangor sangat memerlukan seorang individu berkarisma 'heavyweight' seperti beliau untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya ingin menggesa kepimpinan BN Negeri Selangor memberi pertimbangan cadangan ini untuk segera melantik Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor sejurus selepas saya meletak jawatan," katanya.

Menurut Jamal, kesediaannya untuk melepaskan jawatan tersebut kepada Tengku Zafrul adalah bukti keikhlasannya untuk melihat Selangor mempunyai seorang pemimpin dalam kalangan individu intelek, profesional dan sangat berwibawa.

"Keputusan yang saya muktamadkan ini juga adalah untuk memastikan Tengku Zafrul dapat turut berada dalam barisan kepimpinan BN negeri Selangor bersama kepimpinan sedia ada yang diterajui oleh Tan Sri Noh Omar selaku Pengerusi BN Selangor," katanya.

Jamal sebelum ini turut mencadangkan Tengku Zafrul dijadikan 'poster boy' BN Selangor pada PRU15 bagi membolehkan Selangor kembali diterajui BN. -Sinar Harian