KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menasihatkan pihak-pihak tertentu agar tidak terlalu bermain politik, sebaliknya bersama-sama menjayakan kerajaan yang didukung oleh parti-parti utama negara.

Beliau menjelaskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membuktikan bahawa pentadbirannya tidak gagal menerusi beberapa kejayaan yang telah dilaksanakan.

"Kalau gagal itu siapa yang gagal? Yang mengedalikan COVID-19 diperingkat pusat sebahagian besarnya adalah dari UMNO.

"Yang jaga pemberian vaksin menteri UMNO, yang menjaga keselamatan negara adalah menteri UMNO, yang jaga portfolio kesihatan itu menteri UMNO.

"Kalau kita dok hayun soal kerajaan gagal itu siapa yang gagal, meludah ke langit jatuh ke muka kita, sedangkan realitinya kita tidak gagal, kita momokkan kita gagal kerana kita nak bermain politik," katanya dalam satu program bual bicara di sebuah portal baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, istilah kerajaan gagal mula dibangkitkan sesetengah pihak sejak September tahun lalu menjelang pembentangan Belanjawan 2021.

Tambahnya, beliau tahu siapa yang membangkitkan isu tersebut dan tujuannya hanyalah untuk menghakis kepercayaan terhadap kerajaan PN.