KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menolak desakan sebahagian pihak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera, yang didakwa bertujuan menyelamatkan golongan kleptokrat daripada pengadilan di mahkamah.

Dalam masa sama, BERSIH menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdiri teguh dengan janji beliau untuk tidak mencampuri urusan kehakiman dengan menolak desakan PRU15 diawalkan.

Kata BERSIH, Ismail Sabri harus berkhidmat sehingga hujung penggal selain perlu diingatkan mandat yang diperoleh beliau adalah daripada Parlimen dan bukannya UMNO.

Justeru, jelas Jawatankuasa Pemandu BERSIH, semua parti digesa untuk mewujudkan suatu Konvensyen Perlembagaan iaitu ‘Parlimen Berpenggal Tetap’ dengan meneruskan Sidang Parlimen Ke-14 sehingga 15 Julai 2023.

“BERSIH merasa was-was dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang dibawa ke depan selama tiga minggu pada 7 Oktober, menimbulkan spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan secara tidak bertanggungjawab keesokannya bagi memancing undi dengan tawaran menggiurkan tetapi tiada jaminan dalam belanjawan yang tidak diperbahaskan,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, kata BERSIH, digesa supaya segera melaksanakan reformasi, terutamanya dengan memisahkan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghapuskan pendakwaan terpilih serta kekebalan pendakwaan oleh Peguam Negara.

Namun, memandangkan reformasi ini akan mengambil masa yang lama, BERSIH mencadangkan supaya Sidang Parlimen ke-14 berlangsung sehingga Julai tahun depan.

“Ini akan memulakan konvensyen 'Parlimen Berpenggal Tetap' yang baharu.

“Dengan ‘Parlimen Berpenggal Tetap’, setiap Parlimen akan bertahan sehingga penghujungnya dan pembubaran hanya dibenarkan dalam dua keadaan iaitu apabila kerajaan hilang keyakinan di Parlimen; dan apabila dua pertiga Ahli Parlimen bersetuju untuk pembubaran awal.”

Tambah BERSIH, dengan adanya ‘Parlimen Berpenggal Tetap’, tarikh pilihan raya juga biasanya tetap sekali gus menjamin kestabilan politik dan memudahkan orang ramai untuk membuat perancangan pada masa depan.

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan, lebih awal berbanding tarikh yang dijangka sebelum ini iaitu pada 28 Oktober.

Pengumuman itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat.