JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) Johor menasihatkan ahli dan barisan kepimpinan semua peringkat parti komponen supaya tidak berpaling tadah semata-mata kerana hal remeh seperti tidak puas hati atau tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri berkata, sesuatu yang merugikan jika seseorang ahli keluar parti kerana mereka sebenarnya bersekongkol dengan pihak musuh.

"Tanpa disedari juga mereka menggadai maruah untuk menjadi sebahagian daripada pihak yang telah merosakkan sejarah politik negara serta memalukan Malaysia di seluruh dunia.

"Musuh sebenar yang dihadapi PN bukan sahaja parti lawan bahkan sifat-sifat buruk yang sebati dalam diri pemimpin UMNO yang ternyata telah merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus serta maruah negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru beliau berharap, tiada ahli dan pemimpin PN akan terpedaya dengan sebarang bentuk imbuhan keduniaan yang ditawarkan kumpulan pecah integriti itu.

Katanya, setiap ahli PN adalah pejuang yang perlu meneruskan prinsip dan disiplin perjuangan seperti ditunjukkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara lebih baik menjadi realiti.

"Mereka juga jangan mudah terpengaruh dakyah yang tersebar konon ada ahli Bersatu keluar parti kerana itu semata-mata cubaan permainan parti lawan untuk mengelirukan kita.

"Ahli-ahli sebaliknya perlu melihat perkembangan apabila semakin ramai kelompok atas pagar, pengundi baharu dan Undi 18 menerima prinsip perjuangan berintegriti yang menjadi nilai teras kepada politik, tadbir urus serta semua urusan lain di seluruh dunia sekarang," katanya.

Jelasnya, mana-mana organisasi yang enggan melakukan pembaharuan prinsip, takut melaksanakan perubahan organisasi serta menafikan penerapan sistem nilai akan ditolak rakyat.

Beliau memohon sokongan ahli parti dan seluruh Bangsa Johor untuk menyokong PN yang sedang menerajui proses itu bagi membawa Johor menuju kehidupan era kemajuan yang gemilang, harmoni dan makmur.

Mohd Solihan mendakwa, PN semakin mendapat sokongan dan kepercayaan kumpulan atas pagar serta pengundi baharu dan Undi18 kerana menyakini prinsip-prinsip perjuangan parti diterajui Muhyiddin yang berteraskan integriti, sistem nilai dan pembaharuan.

Sokongan dan sikap itu katanya, dizahirkan apabila mereka hadir Siri Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen termasuk pelbagai program sejak kebelakangan ini.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.