BAGAN DATUK: UMNO menzahirkan kekecewaan susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan kerjasama antara dua parti itu sebagai ‘durian mentah’.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan label-melabel pihak lain dengan sesuatu yang buruk disifatkan sebagai tidak wajar.

Walaupun kerjasama UMNO dengan Pas dilabel sebagai ‘durian mentah’, namun, Ahmad Zahidi mengingatkan Abdul Hadi bahawa raja buah itu juga mempunyai duri yang tajam.

“Melabelkan sesebuah parti dengan mana-mana binatang, tumbuhan atau buah… saya khuatir buah durian ini durinya tajam.

“Sesiapa yang berada di bawah, jika ia jatuh, maka lukanya pasti akan mengenai kepala atau badan. Jadi, jangan main-main dengan durian.

“Sama ada ia masak atau tidak masak, tunggulah. Kalau durian itu jatuh ke bumi dan orang yang berada di bawah itu tidak dapat elak, pasti akan mengalami luka,” katanya dalam nada nada sinis.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, pada Ahad.

Ahmad Zahid sebelum itu diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi yang berkata tindakan Pas menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) kerana menyifatkan UMNO sebagai parti ‘yang keruh’.

Pada Jumaat, media melaporkan Abdul Hadi berkata antara 'kekeruhan' yang dimaksudkan ialah masih terdapat kes melibatkan penerima rasuah yang belum selesai.

Malah Presiden Pas itu juga menganggap kerjasama yang dijalinkan antara partinya dengan UMNO sebagai ‘durian mentah’ yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perut kembung jika dimakan.