BUKIT GANTANG: Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa beliau terlibat dalam penyediaan draf Memorandum Perjanjian (MOA) berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau menyediakan draf perjanjian tersebut atas kapasiti sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu.

Beliau turut mengakui di dalam MOA berkenaan, ada disebut jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi hanya jika perlu dilantik.

Jelasnya, semua perjanjian perlu mematuhi perlembagaan negara.

"Tidak wujud dalam Perlembagaan Malaysia satu jawatan yang disebut Timbalan Perdana Menteri. Yang selama ini ada Timbalan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir itu dalam undang-undang kita panggil satu konvensyen.

"Konvensyen itu satu amalan yang tidak ada dalam Perlembagaan. Jadi bila tidak ada dalam Perlembagaan, terpulang kepada Yang Di Pertuan Agong sama ada nak lantik atau tak lantik, terpulang kepada Yang Di Partuan Agong lah. Jadi tak boleh kata wajib lantik, tak boleh," katanya.

[TERKINI] Takiyuddin sahkan terlibat draf memorandum perjanjian jawatan TPM


Beliau ditemui ketika menghadiri Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di Sungai Kerang, Terong, Perak pada Selasa.

Bagaimanapun, menurutnya, beliau tidak pasti sama ada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tahu mengenai perkara tersebut.

Ditanya keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri ketika ini kerana Pilihan Raya Umum ke-15 mungkin diadakan dalam masa terdekat, beliau berkata, soalan itu perlu diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

[TERKINI] Perjanjian jawatan TPM wujud, Hadi kena rujuk Takiyuddin – Muhyiddin


Pada Isnin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa memang wujud perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kuota Kabinet.

Menurutnya, selaku Pengerusi PN, beliau menandatangani perjanjian itu bersama-sama Perdana Menteri dan disaksikan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Tan Sri Annuar Musa.

Malah, katanya, draf perjanjian itu digubal oleh Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas.

Politik | Tiada keperluan lantik TPM - Abdul Hadi


Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, Abdul Hadi boleh menyemak perkara itu dengan Takiyuddin.

Pada Jumaat, Abdul Hadi berkata, tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, antara PN dengan Perdana Menteri.