KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Naib Presiden UMNO yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Datuk Hasni Mohammad yang disifatkan melakukan kerja yang baik dalam menerajui negeri.

Menurut Mohamed Khaled, beliau memilih untuk memberi laluan kepada muka-muka baharu supaya mereka lebih terdedah dengan keadaan politik semasa di negeri ini.

"Tidak, saya tidak akan bertanding dan tidak menawarkan diri untuk bertanding pada PRN Johor. Saya merasakan Datuk Hasni Mohammad melakukan kerja yang baik menerajui negeri.

"Kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda untuk bertanding. Ini adalah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding, itu adalah tidak benar," katanya seperti dilaporkan portal Berita Harian hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: UMNO bakal bertanding 42 kerusi - Mohamad Hasan

Dalam sidang media baru-baru ini, Hasni, yang juga ADUN Benut sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan menjelaskan, soal kedudukan beliau selaku Menteri Besar Johor akan diputuskan oleh pimpinan Barisan Nasional (BN).

Namun, tidak seperti Melaka tempoh hari, kem UMNO dan BN di Johor telah melontarkan keyakinan penuh kepada beliau untuk terus menerajui negeri, seandainya BN berjaya mendapat majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Setakat ini juga, belum ada nama khusus oleh pihak Pakatan Harapan (PH) tentang calon mereka yang sesuai untuk menjadi Menteri Besar Johor, sekiranya PRN kali ini berpihak kepada mereka.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional (PN) hampir pasti akan terus menjadikan seorang lagi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai calon pilihan mereka.