KUALA LUMPUR: Sarawak melaporkan pertambahan 675,077 jumlah pengundi baharu yang layak mengundi menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,927,750 pada suku keempat 2021.

Pertambahan dicatatkan selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran secara automatik pengundi.

Angka baharu itu berdasarkan statistik didedahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa taklimat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak 16 Mei lalu.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, sebelum suku keempat 2021, Sarawak merekodkan jumlah keseluruhan pengundi seramai 1,255,113.

"Jumlah pengundi berusia 18-20 tahun terkini adalah 143,609 atau 20.9 peratus, 21-29 tahun mencatatkan 310,391 (45.2 peratus) dan 30-39 tahun merekodkan 132,022 pengundi atau 19.23 peratus.

"39 DUN mencatatkan pertambahan kurang 6,000 pengundi, 25 DUN menyaksikan peningkatan di antara 6,000-12,000 pengundi, 15 DUN lapor peningkatan 12,000-18,000 pengundi, satu DUN lebih 18,000-24,000 pengundi dan dua merekodkan lebih 24,000 pengundi baharu,’’ katanya.

Selain itu, DUN Senadin melaporkan jumlah pengundi baharu paling ramai dengan 33,630 pengundi baharu menjadikan angka terkini jumlah pengundi di DUN tersebut kepada 67,904 daripada 34,274.

Ia diikuti DUN Tupong dengan jumlah terkini kepada 51,355, Lambir (38,277), Dudong (52,062), Kota Sentosa (45,422), Batu Kawa (37,765), Pantai Damai (37,527), Batu Lintang (46,150), Pujut (43,774) dan Samariang (37,609).