KUALA LUMPUR: Kabinet baharu yang bakal dibentuk tidak memerlukan jawatan timbalan menteri selain menghentikan angka besar keahlian yang selama ini diamalkan.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar menjelaskan, kerajaan hari ini berdepan masalah ekonomi dan memerlukan banyak perbelanjaan yang melibatkan banyak wang ringgit rakyat.

Ujarnya, paling penting memastikan Kabinet baharu nanti benar-benar kecil dan berfungsi untuk rakyat.

"Ketua Setiausaha harus diberi kuasa untuk memimpin mana-mana kementerian yang dirasakan kurang kritikal. Anggota Kabinet baharu juga tidak sepatutnya dianggotai oleh mereka yang menghadapi tuduhan di mahkamah.

"Pada masa kini paling penting adalah mendapatkan kualiti yang merangkumi prestasi, integriti serta keberanian selain bukan kuantiti pada masa mencabar begini. Mereka yang bakal mengisi jawatan itu juga adalah tokoh yang boleh dipercayai dan akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada pelabur," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: Malaysia: Harapan dan masa depan

BACA: Saiz Kabinet patut kecil, pamer kewibawaan - Penganalisis

Dalam pada itu tegasnya, isu kepentingan nasional harus diutamakan terutama dalam mengatasi pergolakan politik.

"Negara memerlukan sebuah kerajaan yang efektif, stabil serta mampu menangani kepentingan dan paling penting membangun semula pemulihan ekonomi.

"Usaha itu tidak harus meletakkan isu pertikaian politik namun perlu memberi fokus kepada usaha menyelamatkan nyawa dan meletakkan mata pencarian kembali ke landasan.

"Kejujuran intelektual sangat penting untuk pemerintahan yang berkesan dan bukan hanya dengan bercakap namun melakukan apa yang dirancang. Pemerintah juga seharusnya menunjukkan integriti sebagai model untuk diikuti oleh rakyat," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Akhbar Satar menegaskan, Jawatankuasa Khas Kabinet perlu dianggotai pihak-pihak yang mahu bekerjasama dan bukan saling mahu mensabotaj.

Jawatankuasa itu juga tidak harus saling salah-menyalahkan antara satu sama lain dan menunjukkan model terbaik sebagai ahli politik matang kepada rakyat sebagai sebuah Keluarga Malaysia.