KUALA LUMPUR: Pengumuman anggota Kabinet diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal diumumkan pada jam 11 pagi pada Jumaat (27 Ogos 2021).

Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan kepada Astro AWANI, majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan itu akan berlangsung pada Isnin depan, jam 2.30 petang.

Awal petang tadi, PMO memaklumkan tiada sebarang pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri berkenaan jemaah menteri beliau.

Ismail Sabri sebelum itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama 1 jam 30 minit di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Istana Negara memaklumkan, pada majlis sembah menghadap itu, Ismail Sabri telah menyembah maklum senarai Anggota Kabinet beliau kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah.