KUALA LUMPUR: Kaum lain tidak perlu takut dengan Gerakan Tanah Air (GTA) yang memperjuangkan agenda Melayu dan Islam, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Sebaliknya, tegas Pengerusi Penaja GTA itu, kaum-kaum lain akan turut menikmati kebaikan hasil daripada pentadbiran Melayu yang baik.

Jelas bekas Perdana Menteri itu lagi, kaum Melayu sanggup berkongsi negara dengan orang lain, tetapi perkongsian tersebut perlulah secara adil.

"Kita tidak berniat rampas harta yang kepunyaan orang lain (tetapi) hanya minta bahagian kita sahaja.

"Kaum-kaum lain tidak perlu takut dengan gerakan kita (GTA) walaupun gerakan kita ini terhad kepada orang Melayu sahaja.

"Mereka tidak perlu takut kerana kita lihat pemerintahan orang Melayu memberi kejayaan kepada orang bukan Melayu juga.

"Inilah pentabiran Melayu yang baik. Dan kita mampu menghidupkan semula pentabiran Melayu yang baik ini," katanya ketika berucap pada Himpunan Nasional 2022 Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini. 

BACA: Sokongan orang Melayu, GTA yakin menang PRU15

Himpunan itu yang dihadiri Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim mengumpulkan pimpinan Berjasa dari seluruh negara dengan anggaran kehadiran seramai 2,000 orang.

Berucap lanjut, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, orang Melayu tidak boleh menjadi semakin miskin kerana jika keadaan itu berlaku, ia akan membawa banyak masalah termasuk "menjual negara".

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menzahirkan rasa sedih apabila ramai orang Melayu berhijrah ke luar negara kerana mereka dilihat tidak lagi yakin dengan kemampuan Malaysia pulih semula.

"Kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti apa yang terjadi kepada Singapura, (dulu) sebahagian tanah Melayu, tetapi sekarang ini menjadi negara lain.

"Kita bukan nak berperang dengan Singapura untuk tuntut balik hak kita, tetapi di sini (Malaysia) kita masih berkuasa sedikit sebanyak kerana bilangan kita memang ramai.

"Sepatutnya, orang Melayu yang dikatakan memenuhi 70 peratus penduduk di Malaysia inilah yang akan memerintah dengan baik," tambah Dr Mahathir.

Justeru, beliau berkata, melalui perjuangan orang muda dan wanita, GTA yakin mampu mencapai matlamat melahirkan semula sebuah negara yang bersih dan bersedia untuk maju ke hadapan.

Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Selain Dr Mahathir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Zamani, Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.