KUALA LUMPUR: Parti Bersatu merekodkan jumlah keahlian seramai 563,524 ahli di seluruh negara setakat ini, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah ketika membentangkan laporan ringkas pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Keempat parti itu yang diadakan secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini berkata, sebanyak 5,643 cawangan telah ditubuhkan di seluruh negara, berbanding 2,960 cawangan direkodkan pada tahun lalu.

"Sayap bersekutu secara rasminya telah ditubuhkan mengikut perlembagaan parti dan ia diketuai Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

"Bagi mencerminkan keterbukaan dan pengiktirafan parti, Dr Santara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Johor, Datuk Dr Chong Fat Full dilantik menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi," katanya.

Selain itu, beliau berkata perhimpunan itu juga akan memuktamadkan cadangan pindaan perlembagaan parti bagi tujuan penubuhan sebuah lagi sayap baharu iaitu Srikandi Muda.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah memaklumkan perjalanan perhimpunan yang dijadualkan tamat pada jam 6 petang ini akan dipendekkan bagi menggerakkan ahli parti untuk memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, dimulakan dengan perhimpunan agung Srikandi dan Armada.

-- BERNAMA