Kemasukan beramai-ramai ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan satu gimik atau lakonan.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Bersatu Negeri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, pihaknya tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk menyertai parti itu melainkan atas kerelaan sendiri.

"Bukan satu lakonan, bukan satu propaganda, mereka adalah atas kerelaan hati mereka masuk kepada Bersatu.

Katanya, rakyat kini bijak memilih pemimpin yang boleh memimpin negeri ini ke arah kemajuan.

"Di mana mana kita melawat atau berjumpa rakyat, ada sahaja ahli daripada parti lain yang secara sukarela masuk.

"Tidak ada paksaan, tidak ada tekanan apa apa.

"Mereka memilih Bersatu kerana mereka fikir bahawa parti ini perlu disokong untuk mengambil alih kerajaan di dalam pilihan raya akan datang ini," kata Hajiji.

Beliau dalam pada itu membidas kenyataan daripada parti Warisan yang menafikan kemasukan ahli parti itu secara beramai-ramai menyertai Bersatu.

Dalam lawatannya ke daerah Kunak, turut menyaksikan penyertaan lebih 70 cawangan Warisan termasuk dua cawangan UMNO yang melibatkan lebih 2000 ahli.

"Majlis pada hari ini adalah menerima kemasukan mereka yang ingin menyertai Bersatu.

"Mereka saya difahamkan daripada parti Warisan dan lebih daripada 2,000 orang ahli masuk.



"Jadi ini menunjukkan bahawa parti Bersatu semakin hari semakin diterima oleh rakyat," kata Hajiji.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra bersama pemimpin bagi daerah Kunak.