IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berharap kemelut yang berlaku di Melaka tidak akan berulang di Perak.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak pasti apa sebenarnya telah berlaku dan punca kemelut itu.

Menurutnya, jika mengikut perkiraan, kerajaan negeri Melaka telah jatuh dan terpulang kepada Gabenor Melaka untuk membuat keputusan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan kononnya punca kemelut itu disebabkan 'ada dua singa di atas satu gunung'.

"Saya tidak boleh komen yang itu, siapa singa siapa harimau saya tidak pasti. Apabila seseorang itu mahu membuat satu keputusan, dia akan cari pelbagai alasan untuk 'menghalalkan' perbuatan dia.

"Tetapi apa yang berlaku di Melaka itu tidak akan berlaku di Perak mungkin, insyaAllah tidak. Negeri Perak insyaAllah stabil dan kita akan beri perhatian untuk membuat persiapan bagi membentang bajet negeri," katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Remaja di Sekolah Izzuddin Shah, di Ipoh, pada Selasa.

Untuk rekod, di Perak pernah berlaku beberapa kali pertukaran kerajaan dan Menteri Besar sejak tahun 2008.

Yang terbaharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar selepas gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadap beliau ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Disember tahun lalu.

Pada Isnin, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

BACA: Lebih 2 'singa' di Melaka, perpecahan dalaman UMNO jadi punca

BACA: Kerajaan Melaka tumbang: PH Melaka akan menghadap TYT, belum bincang calon Ketua Menteri

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).