LENGGONG: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyanggah dakwaan kononnya beliau akan melancarkan kempen UMNO Sayangi DAP yang tular di media sosial sejak kebelakangan itu.

Menurut Presiden UMNO itu, dakwaan tersebut adalah fitnah yang sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Siapa yang pandai buat fitnah itu, siapa buat kerja yang tak tentu hala itu sempena dengan bulan Syawal ini?

"Bertaubat cepatlah, mohon maaflah, kerja-kerja fitnah ini hentikanlah, sebab sekarang ini orang boleh baca siapa buat fitnah dan siapa yang buat cerita yang betul," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Lenggong, pada Sabtu.

Ditanya apakah itu propaganda murahan pembangkang, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, itulah taktik yang diamalkan pembangkang dari dahulu sehingga sekarang.

Terdahulu, tular di media sosial, khususnya WhatsApp, poster kononnya Ahmad Zahid bakal melancarkan kempen UMNO sayangi DAP.

Berdasarkan kepada poster tersebut, antara tujuan kempen itu ialah untuk meyakinan akar umbi UMNO bahawa DAP bukanlah seburuk yang digambarkan.

Mengulas laporan bahawa bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sudah mengemukakan rayuan terhadap penggantungan keahliannya selama enam tahun, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Majlis Tertinggi parti.

Menurutnya, keputusan penggantungan itu dibuat oleh MKT dan sebarang rayuan akan dirujuk kepada majlis tersebut.