Beberapa ahli MIC tertanya-tanya motif sebenar Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel mahu mengambil tindakan undang undang terhadap pendaftar pertubuhan (RoS).

Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh berkata ia tidak wajar dan membelakangkan persetujuan yang dibuat bersama kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Ia tidak wajar kerana sebelum ini beliau telah bersetuju untuk mematuhi apa yang dibincang bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam," kata Sivarraanh ketika mesyuarat 'Isu Semasa dan Masa Depan MIC'.

Beliau turut berkata parti berkenaan memerlukan pemimpin yang kuat untuk memperkasakan parti dan memberikan sokongan kepada Subramaniam sebagai calon presiden.

Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy turut tertanya-tanya tentang motif Palanivel untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas RoS.

"Sebelum ini beliau bersetuju dengan barisan jawatankuasa kerja pusat (CWC) 2009 namun semalam beliau mahu ambil tindakan terhadap RoS.

"Saya tidak tahu sebab mengapa beliau mahu heret RoS ke mahkamah. Ia seolah beliau bercuba sedaya upaya untuk menangguhkan pemilihan semula parti. Sesiapa sahaja yang mahu ketuai parti harus mendapat sokongan akar umbi," kata Mohana.

Bekas ketua pemuda MIC T. Mohan berkata jika Palanivel mahu berbuat demikian, ia harus dilakukan lebih awal lagi.

"Kini sudah terlambat dan beliau tidak patut berbuat demikian kerana beliau merupakan seorang menteri dan beliau kini menentang keputusan kerjaan.

"Beliau seharusnya letak jawatan sebagai menteri dahulu sebelum membuat keputusan sebegini," jelas beliau.

Mohan turut berkata Palanivel seolah sudah tahu beliau tidak akan menang dalam pemilihan semula dan mahu memanjangkan isu ini dengan membawa RoS ke mahkamah.

Bekas pengarah strategik MIC Datuk Seri S. Vell Paari berkata tindakan Palanivel untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas RoS seolah membelakangkan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional.

Vell Paari turut berkata sebelum ini Palanivel telah bersetuju dengan segala terma yang ditetapkan untuk menyeselsaikan kemelut parti MIC.

“Ia amat mencabar untuk memberi kenyataan mengenai seorang yang sangat tidak konsisten dengan tindakan dan kenyataan yang beliau buat sendiri.

“Palanivel sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kini beliau mahu mengheret RoS ke mahkamah. Saya cadang penasihat undang-undang Palanivel untuk mendidiknya tentang Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan 1966,” kata Vell Paari kepada Astro AWANI.

Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan 1966 menyatakan, keputusan yang dibuat oleh parti politik adalah muktamad dan konklusif selain tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

Palanivel dalam satu sidang media pada Sabtu berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap RoS sekiranya mereka enggan menarik balik arahan berkenaan pemilihan semula parti MIC.

Beliau mendakwa arahan RoS bercanggah dengan Akta Pertubuhan dan perlembagaan parti.

"Kami akan mengambil tindakan ini kerana arahan yang dikeluarkan RoS bertentangan dengan perlembagaan parti," kata Palanivel.

Tambahnya, arahan untuk memberi kuasa kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 bagi membentuk CWC sementara, bakal meletakkan beliau di jawatan Pemangku Presiden.

"Mereka tiada hak untuk berbuat demikian. Saya telah menang tanpa bertanding pada 2013 sebagai presiden," tegas Palanivel di sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur.