KENYATAAN Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi peluang sebagai Perdana Menteri untuk memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan nyata telah mengundang pelbagai persepsi.

Ikuti pandangan penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi bagi mengupas perkara tersebut.

SINAR HARIAN: Apakah pendapat anda mengenai sokongan Azmin supaya Tun Mahathir kekal menjadi Perdana Menteri sehingga akhir penggal?

AWANG AZMAN: Dalam keadaan sekarang, kita melihat Azmin adalah antara individu yang dekat dengan Mahathir dan banyak spekulasi menyatakan beliau sebagai bakal Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan beliau itu bertentangan dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang mana sepatutnya Azmin perlu akur dengan keputusan tersebut.

Sekiranya tidak bersetuju atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden PKR atau Naib Presiden Majlis Presiden PH, beliau seharusnya menyuarakan pandangan itu secara tertutup dalam Majlis Presiden PH.

Adakah sokongan itu menggambarkan bahawa Azmin menolak Anwar menjadi Perdana Menteri ?

AWANG AZMAN: Situasi ini memperlihatkan bahawa Azmin kini sudah berada di tahap tertinggi untuk melawan konsensus Majlis Presiden PH yang telah bersetuju bahawa Mahathir hanya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama dua tahun sahaja.

Apakah implikasi kenyataan tersebut?

AWANG AZMAN: Ia menunjukkan bahawa Azmin telah bersedia untuk bersemuka atau berkonflik secara terbuka dengan Anwar sekali gus mencerminkan pergolakan yang berlaku dalam PKR itu sendiri.

Beliau perlu menanggung akibat sekiranya berlaku banyak protes terhadap kenyataan itu terutama dalam PKR. Beliau juga tidak boleh menyalahkan pihak yang mengkritik malah perlu bersedia berdepan tindakan daripada Lembaga Disiplin PKR kerana tindakannya yang melawan arus.

Sejauh mana sokongan Azmin itu mendapat sokongan daripada kalangan ahli Parlimen atau rakan parti?

AWANG AZMAN: Berdasarkan kajian, kita melihat sokongan beliau di dalam Parlimen sendiri tidak lebih 10 peratus, jadi kita lihat kenyataan beliau bersifat pinggiran dan tidak mewakili keseluruhan ahli Parlimen. Dalam PKR pula sokongan diperoleh kurang daripada 20 peratus daripada keseluruhan akar umbi dan pimpinan PKR.

BACA: Tiada peralihan kuasa dalam tempoh dua tahun - Azmin Ali

BACA: Azmin sokong Tun M pimpin negara hingga akhir penggal

BACA: Beri tempoh secukupnya Dr Mahathir pulihkan ekonomi negara - Azmin

BACA: Dua tahun jadi PM, hanya cadangan - Dr Mahathir

BACA: Adakah Pakatan Harapan di ambang bercerai-berai?