KUALA LUMPUR: Kenyataan hangat yang dikeluarkan oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Isnin membuktikan bahawa apa yang pernah disuarakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini adalah benar.

Demikian kata Ketua Penerangan Keadilan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, kenyataan yang menyebut bahawa wujud gerakan mendapatkan tanda tangan Ahli Parlimen menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri jelas membuktikan Anwar tidak berbohong sebelum ini.

“Kenyataan Tajuddin hari ini mengabsahkan ikhtiar Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018. 

“Kenyataan beliau hari ini juga, menjelaskan bahawa memang benar PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jumlah sokongan ahli-ahli Parlimen yang mencukupi untuk merampas semula kerajaan selepas mandat rakyat dikhianati melalui langkah Sheraton. 

“Justeru, ejekan sebahagian khalayak yang melantunkan kata-kata kononnya Datuk Seri Anwar berbohong apabila menyatakan bahawa beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan pada 22 September 2020 telah pun terjawab dengan sendirinya,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

AWANI Ringkas: Tajuddin gesa Zahid lepas jawatan Presiden UMNO

Tambahnya, kenyataan dikeluarkan Tajuddin juga menzahirkan bahawa pengkhianatan dan agenda peribadi telahpun menggagalkan usaha dan ikhtiar untuk merampas semula Putrajaya. 

“Sewajarnya kita sama sekali tidak boleh memberi ruang dan berkompromi kepada pimpinan yang telah dituduh dan disabitkan di Mahkamah dengan amalan rasuah dan penyelewengan yang menjijikkan.

“Mereka mesti mempunyai hari mereka di mahkamah kerana undang-undang mesti dibenarkan untuk mengambil jalannya,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Tajuddin melalui sidang media khasnya di salah sebuah hotel di Petaling Jaya pada Isnin mendakwa akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri memang wujud.

Menurut Tajuddin, beliau adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu meskipun yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan