KUALA LUMPUR: Seluruh Keluarga Malaysia diingatkan agar sentiasa saling menghormati antara satu sama lain serta mengawal diri daripada membangkitkan persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, perpaduan antara kaum yang sejak sekian lama terjalin menjadikan Malaysia sebagai contoh dan model terbaik negara dalam mengamalkan semangat toleransi.

"Setiap Keluarga Malaysia perlu hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan sensitif sesuatu kaum.

"Elakkan punca boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin, buruk sangka. Tapis dan selidiki perkhabaran sebelum diterima dan hargai nilai perpaduan," jelas Ismail Sabri semasa berucap melancarkan Kongres Perpaduan Negara secara dalam talian pada Sabtu.

Tambah Ismail Sabri, perpaduan perlu dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni terus diperkasakan demi memastikan semua masyarakat di negara ini terbela.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan, perbezaan ideologi politik tidak sewajarnya mencetuskan perpecahan, sebaliknya, prinsip demokrasi seharusnya menjadi wadah penyatuan.

Ismail Sabri mengakui, perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi bukan sahaja para pemimpin, tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

Sehubungan itu, beliau menarik perhatian mengenai kepentingan Kongres Perpaduan Negara sebagai jambatan penting dalam memastikan Keluarga Malaysia terus terjaga.

Ismail Sabri turut memanjangkan harapan kepada semua pihak terutamanya para ilmuwan, tokoh masyarakat serta siswazah untuk mencari platform terbaik memperkasakan perpaduan di negara ini.

"Kerajaan berharap ia menjadi platform terbaik pencambahan ilmu serta pemikiran merentasi agama, akademik, kepakaran, bagi menilai semula aspek perpaduan di negara ini.

"Ia bagi mencari satu mekanisme terbaik bagi menangani isu perkauman dan perpaduan sesuai dengan situasi semasa cabaran yang dihadapi kini," jelasnya lagi.

Bertemakan ‘Perpaduan Bangsa Asas Kesejahteraan Negara’, Kongres Perpaduan Negara dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Kongres Perpaduan Negara yang dijalankan secara webinar selama dua hari bermula hari ini itu disertai lebih 1,000 peserta terdiri daripada para ilmuan, tokoh masyarakat, agamawan dan siswa daripada dalam serta luar negara termasuk dari Mesir.