KUCHING: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan mesej yang jelas bahawa rakyat mahukan kerajaan dan situasi politik yang stabil, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa suara rakyat sangat berkuasa.

“Ada dua mesej yang sangat jelas daripada PRN Melaka, pertama ialah rakyat mahukan kerajaan yang stabil.

“Kedua ialah rakyat tidak mahu budaya katak dalam politik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat dan Projek Jalan Raya Utama Kedua Kuching-Samarahan pada Ahad.

Projek Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat menelan kos kira-kira RM365 juta itu dijangka siap pada 2025.

Jelasnya, dengan kekalahan parti kerajaan terdahulu itu jelas menunjukkan bahawa rakyat sudah serik dengan keadaan yang tidak pasti.

“Sebab itu kalau anda perasan, ada satu parti yang sepatutnya sangat kuat, parti itu pun ada datang ke Sarawak, kita boleh ambil pengajaran dari situasi itu.

“Dua mesej itu sangat jelas, rakyat sudah serik dengan keadaan yang tidak pasti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengesahkan BN memenangi 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka tepat pada jam 9.42 malam pada Sabtu.