KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu yang bakal dibentuk disaran mempertimbangkan satu bentuk persetujuan bersama untuk berkongsi kuasa dan tadbir urus dalam negara melalui Parlimen dan institusi politik.

Koordinator Penyelidikan Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, jika kuasa tersebut tidak diagihkan sama rata antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, polemik politik akan berterusan.

Justeru, beliau menegaskan, keadaan politik yang berlaku ketika ini bukan satu aspirasi yang diperlukan oleh rakyat.

"Jadi perkara itu perlu dilakukan bersama di mana pihak kerajaan yang akan dibentuk nanti memikir idea bipatisan secara struktural.

"Bukan sahaja bercakap seperti menawarkan sesuatu kepada pembangkang, namun tidak membawa pembangkang berbincang terlebih dahulu.

"Amalan demokrasi di Malaysia ini perlu dikaji dan dirunding bersama oleh kedua-dua belah pihak supaya mewujudkan kestabilan kerajaan dan politik Malaysia," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Mesyuarat Raja-Raja Melayu petang ini

BACA: Pertemuan khas Raja-Raja Melayu bincang calon PM hari ini

Mengulas lanjut, Fakhrurrazi juga berpandangan, Perdana Menteri kesembilan perlu mengelak daripada membentuk barisan Kabinet yang berkonsepkan kepartian, sebaliknya mengerakkan struktur baharu yang lebih baik.

Jelas beliau, perspektif baharu harus dilihat dalam pembentukan Kabinet bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada institusi demokrasi dan tadbir urus negara.

"Perkara pertama sekali saya fikir Perdana Menteri akan datang perlu melantik seorang Menteri Kesihatan yang berpengalaman, berpengetahuan dan berwibawa untuk memahami dasar-dasar kesihatan bagi mengatasi COVID-19.

"Kalau kita lihat dulu Menteri Kesihatan dalam Kabinet, portfolio ini tidak begitu mendapat tumpuan daripada mana-mana ahli politik.

"Ini kerana sebelum ini menteri kanan datang daripada Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan. Tetapi hari ini, kita menyaksikan betapa pentingnya mempunyai seorang Menteri Kesihatan yang perlu bersama struktural dan berdasarkan sains dan fakta," ujarnya.

BACA: PN setuju secara bersyarat, namakan Ismail Sabri sebagai PM

Sehubungan itu, Fakhrurrazi  berkata, legasi di mana keputusan membabitkan dasar dalam negara didominasi oleh badan eksekutif sahaja perlu diubah.

Sebaliknya, kata beliau, semak dan imbang bersama blok pembangkang perlu dijalankan bagi mengelakkan masalah teknikal atau isu berbangkit mengenai sesuatu keputusan.

Perkembangan politik negara menyusul selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada Isnin susulan hilang kepercayaan majoriti berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO. 

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan isu-isu semasa, dipercayai menyentuh pembentukan kerajaan baharu.

Pada Isnin, Al-Sultan Abdullah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri serta seluruh barisan Ahli Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.

Dalam pada itu, Baginda turut perkenan untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara (caretaker) sebelum calon Perdana Menteri Baharu dilantik semula.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Muhyiddin tumbang selepas 15 ahli UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Ahli Parlimen Bagan Datuk) menarik sokongan terhadap Kerajaan PN.

Ahmad Zahid membuat pengumuman itu dalam sidang media khas pada 3 Ogos lalu.