KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Jelas beliau, ia bagi membolehkan mandat diberikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang dirasakan layak menerajui negeri itu.

Selain itu,  Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berharap krisis politik yang melanda DUN Melaka ketika ini tidak menular dalam kalangan Ahli Parlimen.

"Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai parti saya tetapi tunggulah saya rasa elok (juga) ada pilihan raya negeri yang baharu.

"Ia supaya DUN Melaka dibubar dan kita beri mandat semula kepada rakyat (dan) untuk rakyat pilih mana kerajaan terbaik bagi tadbir negeri dan negara kita," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ahmad Zahid dalam masa sama berkata, beliau turut mengambil maklum dengan perkembangan yang berlaku di bandaraya bersejarah itu.


Elok adakan pilihan raya negeri di Melaka untuk beri mandat kepada rakyat

Pada Isnin, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Suleiman Md Ali.

Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan beliau bersama Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh pagi Isnin.

Pada sidang media khasnya, Idris yang juga ADUN Sungai Udang mendakwa penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang 'flip-flop' serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.