Jawatankuasa Pas Perak akan mengadakan mesyuarat dengan Pas Pusat dalam menentukan kedudukan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diberi mandat rakyat semalam.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata antara syarat yang perlu diakur oleh mana-mana pihak yang ingin membentuk kerajaan Perak termasuk bersetuju dengan hasrat Pas untuk pelaksanaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

"Pas jadi penentu kerajaan yang ingin dibentuk di mana asas kepada kerjasama ini ialah perlu seiring dengan matlamat perjuangan Pas dan ia tidak boleh terhalang.

"Kerjasama bersyarat akan dikeluarkan dan syarat-syarat itu sedang kita bincangkan di mana buat masa ini secara tidak rasmi, kita belum ada apa-apa syarat.

"Cuma kita tetapkan syarat perbincangan di mana antara syaratnya kita tidak boleh menghalang perjuangan Pas macam dulu kita dihalang.

"Jika untuk umat Islam pun dia (parti politik) tidak sokong, jadi kita tak boleh bersama. Ini adalah matlamat kita," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan perjumpaan dengan pimpinan Barisan Nasional (BN) Perak di sini, hari ini.

BACA: Pertemuan BN, PAS Perak positif - Saarani

Tambahnya, pihak Pas Perak tidak boleh menghadap dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah lantaran Pas tidak cukup mandat rakyat untuk menubuhkan kerajaan negeri.

"Sekarang kita menunggu kalau BN memberi kerjasama kepada Pas dan bukan Pas nak beri kerjasama pada dia ataupun Pakatan Harapan bersetuju mendokong perjuangan Pas. Ini semua ada kemungkinan akan berlaku dan kita belum buat keputusan," katanya.

Kedudukan kerusi DUN Perak ketika ini memihak kepada Pakatan Harapan dengan 29 kerusi manakala BN 27 kerusi dan PAS tiga kerusi.

Namun, angka itu masih belum cukup untuk mana-mana parti untuk menubuhkan kerajaan negeri yang memerlukan sekurang-kuranya majoriti mudah 30 kerusi.