KOTA KINABALU: Tindakan Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Sabah memutuskan ingin bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tanpa melalui proses mesyuarat bersama parti komponen BN dilihat sebagai membelakangkan perlembagaan gabungan parti itu. 

Kecewa dengan perkara itu, Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Profesor Dr. Edwin Laimin menyifatkan tindakan Badan Perhubungan BN Sabah itu melanggar Perkara 13 Perlembagaan BN yang menyatakan semua keputusan melibatkan kepentingan BN perlu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN dengan sebulat suara.

"Kerjasama GRS dan BN tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat BN Sabah.

"Pemuda PBRS kecewa kerana apa pun mesyuarat BN untuk menentukan kerjasama tidak dimaklumkan oleh Badan perhubungan BN sabah kerana sebarang keputusan melibatkan kepentingan BN diputuskan dalam mesyuarat MKT BN," katanya dalam kenyataan.

Jelas Edwin, PBRS tidak menolak sebarang bentuk kerjasama di antara GRS dan BN.

Bagaimanapun, sebarang keputusan mengenai perkara itu menurutnya perlu berpaksikan kepada semangat setiakawan setiap parti komponen dalam BN.

"Kita tidak menolak sebarang kerjasama daripada BN dan GRS tetapi sekurang-kurangnya kita (PBRS) haruslah dilibatkan untuk semangat setia kawan dlm BN selama ini," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mencapai kata sepakat untuk membentuk kerjasama di antara BN dan GRS.

Kerjasama di antara kedua gabungan tersebut menurut Bung masih dalam perbincangan tetapi berjalan lancar selain pengumuman mengenai agihan kerusi akan diumumkan apabila tiba masanya.