KOTA KINABALU: Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kesediaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong calon BN pada PRU-15 mendapat respon berbeza daripada parti komponen GRS.

Naib Ketua Pemuda Pusat Parti Bersatu Sabah (PBS), Shahrun Nidzam Sharoom menyifatkan tindakan Presiden UMNO itu sebagai retorik politik semata-mata demi meraih sokongan rakyat Sabah.

Menurutnya, perbincangan persefahaman di antara GRS dan BN masih berjalan selain belum ada pengumuman rasmi daripada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung perkara tersebut.

"Pengerusi GRS juga belum membuat pengumuman rasmi berkenaan perkara itu. GRS telah menyatakan bahawa kerjasama yang mahu dibentuk bersama BN adalah atas dasar tidak mahu terbabit dengan situasi politik di Semenanjung.

"Namun, kenyataan separuh masak Pengerusi BN itu menimbulkan ketidaksenangan dalam kalangan penyokong-penyokong GRS dan PBS khususnya," ujar Shahrun.

Jelas beliau lagi, tindakan Zahid itu turut menggambarkan cubaan BN mempengaruhi GRS dalam menentukan calon terutamanya di kawasan yang ditandingi secara tradisi oleh parti tempatan di Sabah terutamanya PBS.

Beliau turut berkata pelawaan parti Warisan untuk membentuk kerjasama dengan PBS sebelum ini dilihat lebih menghormati parti itu sebagai parti tempatan terbesar dan tertua di Sabah selain tidak menolak kemungkinan mengenai rundingan kerjasama bakal berlaku di antara keduanya.

"Pelawaan Warisan dilihat lebih memberi penghormatan kepada PBS sebagai parti tempatan yang terbesar dan tertua di Sabah.

"Kerjasama dengan Warisan boleh dipertimbangkan jika ia memberi kelebihan dan impak dalam usaha PBS untuk terus melindungi, menuntut hak-hak dan kepentingan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan perjuangan asas PBS melalui perjanjian MA63," tambah Shahrun.