Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional Pas dan UMNO akan diperincikan melalui perbincangan dalam jawatankuasa perunding dan jawatankuasa teknikal, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, jelasnya, jawatankuasa berkenaan akan membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan kedua-dua parti dari peringkat kepimpinan sehinggalah ke peringkat akar umbi.

“Jawatankuasa perunding dan juga jawatankuasa teknikal akan memperhalusi bukan hanya piagam, tetapi perjanjian persefahaman untuk memperincikan piagam berkenaan.

“Kepimpinan kedua-dua parti apabila tiba masa akan umumkan sesuatu bentuk yang akan dimuktamadkan sebagai sebuah harakah politik,” katanya kepada sidang media sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Ditanya sama ada kedua-dua parti berkenaan akan mengajak parti-parti politik untuk mengukuhkan lagi pengaruh mereka, Ahmad Zahid berkata, masih terlalu awal untuk tindakan sedemikian.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya mengenai penerimaan UMNO di kalangan ahli Pas memandangkan sejarah yang mereka lalui sangat panjang, dan penuh dengan onak dan duri, membalas politik merupakan sesuatu yang fleksibel.

“Kita kena sedar politik bersifat fleksibel. Fleksibel ini melihat pada perkembangan dan perubahan pada lanskap politik.

“Apa yang penting penyatuan Pas dan UMNO menjadikan Pas tidak bertanding dalam kawasan UMNO.

"Kita akan bersama dalam pilihan raya, bagaimana secara objektifnya, itu akan diumumkan,” katanya lagi.