SUNGAI SIPUT: Polis tidak menolak kemungkinan kes kehilangan kain rentang yang tertera "Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Parlimen Sungai Siput di Dewan Arena Sungai Siput" di Jalan Taman Tun Sambanthan, di sini, berpunca daripada perbuatan khianat serta sabotaj.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, bagaimanapun siasatan awal mendapati kesalahan itu tiada kaitan dengan mana-mana parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Semalam (4 November) kira-kira jam 12.31 tengah hari, pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput menerima laporan polis berhubung kehilangan satu kain rentang.

"Ia bertajuk Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Parlimen Sungai Siput pada 5 November 2022 di Dewan Arena Sungai Siput.

"Siasatan awal mendapati kain rentang itu terletak di kerangka iklan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Jalan Taman Tun Sambanthan, di sini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Khaizam berkata, MPKK turut mengesahkan pihaknya tidak mengambil kain rentang berkenaan.

"Siasatan juga tidak mengaitkan kesalahan ini dengan mana-mana parti politik kerana kejadian berlaku sebelum penamaan calon PRU15," katanya lagi.

Justeru itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai untuk tidak mengambil kesempatan membuat spekulasi dan menularkan maklumat yang tidak sahih bagi mengelirukan masyarakat, khususnya ketika PRU15.