SHAH ALAM: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa beliau kini sudah menjadi ahli UMNO bagi bahagian Sungai Buloh iaitu kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Khairy yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu memaklumkan mengenai perkara tersebut dalam satu video pendek di akaun TikTok BN Sungai Buloh pada Ahad ketika satu majlis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saujana Utama, Sungai Buloh.


Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan itu berkata, keputusan berpindah itu diambil kerana mahu menyelesaikan urusan yang tertangguh dan menjadikan kawasan itu sebagai kubu buat BN.

“Saya tidak suka tinggalkan sesuatu yg tidak sampai kesudahannya, sebab saya memang yang macam itulah, agak ‘perfectionist’ sikit. Kalau dah kalah itu mesti buat sampai menang.

“Saya tidak suka tinggalkan begitu sahaja dan saya rasa tidak adil kepada tuan-tuan dan puan-puan.

"Saya datang ke sini sebagai calon bidan terjun berprofil tinggi, bila tidak menang lepas itu terus cabut cari tempat lain,” katanya.

Pada PRU lalu, Khairy yang memperoleh 48,250 undi dalam perebutan kerusi Parlimen Sungai Buloh tewas dengan perbezaan majoriti tipis hanya 2,693 undi di tangan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan (PKR) yang meraih 50,943.

Beliau yang merupakan bekas ahli Parlimen Rembau itu meninggalkan kerusi disandangnya selama tiga penggal bermula pada tahun 2008 bagi bertanding di Sungai Buloh pada PRU14 kali ini untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, keputusan untuk berhijrah di bahagian tersebut telah dibincangkan terlebih dahulu dahulu dengan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan pemimpin bahagian lain termasuk Datuk Harison Hassan.

“Soal pemilihan nanti kita bincang adik-beradik macam mana nak buat. Yang penting seperti mana saya sebut tadi, saya datang bukan hanya nak bertanding dan kalah terus hilangkan diri.

"Tidak, saya kekal di sini sehinggalah kita menang Parlimen Sungai Buloh,” katanya.

Parlimen Sungai Buloh yang mula diwujudkan pada tahun 2018 itu dimenangi oleh oleh calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah pada PRU14 dengan majoriti 43,631 undi.

Secara tradisinya, kawasan tersebut yang sebelum ini berada di bawah Parlimen Subang itu ditandingi oleh wakil daripada MIC iaitu salah satu parti komponen BN. -Sinar Harian