Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad hari ini memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dianggap sebagai ‘sudah tidak center’ (tidak berapa betul) dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, ini kerana kenyataan tersebut bukan berniat untuk membuat serangan peribadi terhadap pemimpin PAS itu.

“Walau bagaimanapun saya mempertahankan kenyataan saya bahawa PAS bukan model politik Islam.

“Bagi saya beliau (Abdul Hadi) telah mengkhianati perjuangan PAS yang ingin menghayati perjuangan Islam sebenar apabila bekerjasama dengan Umno dan menyertai Kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Sebelum ini tular dalam media sosial dakwaan kononnya bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu diserang dan dipukul ketika berada di Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.

BACA: Khalid Samad tidak dipukul seperti didakwa - Polis


Tambah Khalid, sikap bersama 'kerajaan pintu belakang' atau 'tebuk bumbung' Perikatan Nasional adalah jauh tersasar daripada perjuangan yang dibawa kepimpinan PAS terdahulu.

“Perjuangan yang mahu dibawa PAS adalah perjuangan Islam dan bebas daripada perkauman serta penyelewengan,” jelasnya lagi.