KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan dakwaan bahawa dirinya telah keluar daripada parti UMNO.

Menteri Kesihatan itu berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau tetap ahli UMNO dulu, kini dan selamanya.

Beliau berkata demikian susulan sebuah video berdurasi dua minit tujuh saat yang dimuat naik di laman Youtube bertajuk 'KJ keluar UMNO! Sah Keputusan Muktamad Khairy Jamaluddin'.

"Saya tidak suka layan berita macam ini tetapi ramai mesej dan tanya. Saya tetap UMNO. Saya menang Ketua Pemuda tetapi tidak dilantik Kabinet dan dipulaukan, tetap UMNO.

"Waktu kalah PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) dan macam-macam penganiayaan politik, tetap UMNO. Saya kalah Presiden (Pemilihan Presiden UMNO 2018) dan dipandang semacam, tetap UMNO. Kena cari kawasan baharu pun tetap UMNO. Dulu, kini dan selamanya," katanya dalam muat naik di Instagram, pada Isnin.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa Khairy mengunci mulut dan enggan mengulas mengenai cadangan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Seremban pada PRU15 nanti.

Laporan itu adalah selepas beliau mengumumkan akan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi Parlimen Rembau.

Khairy memaklumkan akan mengikut keputusan parti tetapi menyatakan perkara itu akan menyebabkan beliau tidak mempunyai tempat yang jelas untuk bertanding pada PRU-15.

Susulan itu, terdapat cadangan daripada Pemuda UMNO Seremban agar Khairy, menjadikan Seremban sebagai pengganti kepada Rembau.