GUA MUSANG: Pemilih berusia 18 tahun yang bakal mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diseru keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

Penyandang kerusi Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata menerusi pilihan raya, pengundi muda boleh memilih kerajaan yang terbaik mengikut perspektif mereka.

"Saya harap ramai anak muda mengambil peluang keluar mengundi beramai-ramai nak tukar atau mencorakkan semula pemerintahan negara.

"Kalau kita nak kepada mereka yang kita rasa yakin memberi pemerintahan yang baik, jadi saya harap janganlah kita boikot atau pulau peluang yang terbuka ini," kata veteran politik itu dalam video menerusi Facebooknya hari ini.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li turut memberi galakan kepada belia supaya bebas memilih calon yang mereka rasa layak untuk memikul amanah diberi.

"Guna kesempatan ini (PRU15), kalau kita tak suka kepada seseorang tak perlu undi dia. Cari dan pilih yang lain tetapi jangan sia-siakan peluang ini yang sudah diberi kepada kita... gunakan kesempatan ini sebaik mungkin," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

-- BERNAMA